Ulama vs Daie

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Baru-baru nie telah viral satu posting berkenaan ‘Allah sudah tidak pandang orang berilmu’ – Kenapa Makin Ramai Golongan Jahil Dapat Hidayah Allah?

Saya tak nak bahas sebab ramai yang dah respon kepada cerita tersebut. Cuma saya teringat kepada satu topik bacaan saya daripada buku ‘Head with Serban’ oleh Najmi Nawawi, bertajuk Ulama vs Daie, ms 11 & 12.

Buku beliau boleh didapati di gedung-gedung buku. Saya beli di Popular.

Bacaan yang santai dan mudah. Banyak menyentuh kehidupan kita ketika ini.

Jom sama-sama baca dan fahamkan tulisan beliau ini.


 

Ulama vs Daie

Dua title yang berbeza, namun tiada mustahil untuk berada dalam susuk tubuh yang sama.

a) Dia adalah seorang pendakwah dan dalam masa yang sama dia seorang ulama.

b) Dia adalah seorang pendakwah namun dia bukanlah seorang ulama.

Ulama ialah orang yang alim dan menjadi rujukan orang ramai. Konsep ulamak boleh ditakrif dengan pelbagai definisi yang berdasarkan latar belakang seseorang. manakala daie ialah mereka yang mengajak kearah kebaikan. Daie ini tidak semestinya alim dan mempunyai kesarjanaan. Namun mereka menyeru masyarakat untuk menuntut ilmu. mereka mengajak masyarakat untuk mendekati para ulama. Tugas daie terbatas dalam hal-hal yang tertentu. Contohnya, mereka tidak boleh mengeluarkan fatwa atau menghukum hal-hal tertentu atas dasar ilmu mereka tidak sempurna.

Oleh itu, kita perlu memahami bahawa seorang pendakwah perlu menyedari tugas, ilmu dan kemampuan dirinya. Inilah sifat yang penting dalam jiwa daie original. Kita tidak mahu daie yang syok sendiri sehingga mengangkat diri mereka sama taraf dengan ulama.

“Sehingga berani mengeluarkan fatwa.

Sehingga berani mentafsir al-Quran dan

hadis tanpa ilmu dan berguru.

Sehingga berani menghukum itu dan ini

sesuka hati.”

Ini bukan daie, tapi ‘ulama Google’. Seringkali hujah atau pendapat yang diberikan oleh golongan ini datangnya daripada sumber-sumber yang tidak sahih. Berguru dengan ‘ustaz Google’ akan membuat diri menjadi ‘gile-gile’. Sedangkan kaki tidak pernah menjejak di pondok, telinga tidak pernah mendengar pengajian, dan tangan tidak pernah membelek helaian kitab.

Ia akan menjadi sebuah kerosakan yang besar apabila daie yang bukan ulama salah faham akan tugas dan tanggungjawab mereka. Kerosakan ini berlaku apabila seseorang yang tidak layak suka meletakkan dirinya sebaris dengan para ulama.

Oleh yang sedemikian, penting untuk seorang daie itu menyedari hakikat tugas dan kemampuannya. Menjadi seorang daie itu tidak semestinya mengizinkan kita bertindak sebagai seorang ulama. Namun seorang daie perlu berusaha membawa orang lain untuk mendekati para ulama. Inilah kefahaman seorang daie original yang tidak berlebihan dalam menjalankan tugasnya.

Ulama ialah guru kepada pendakwah muda, dan para pendakwah muda ini menyampaikan ajaran guru mereka kepada masyarakat.


 

Abu Ajwad

Miri, Sarawak

Advertisements

Perkara Asas Tentang Mazhab

  1. Mazhab merupakan madrasah dan aliran-aliran fiqah bagi mentafsirkan nas-nas syariat dan pengambilan hukum-hukum daripadanya. Ia adalah metodologi-metodologi fiqah dalam beristinbat (mengeluarkan hukum) dan mengetahui hukum. Ia bukan syariat baru dan bukan sesuatu yang lain daripada Islam.
  2. Nas-nas al-Quran dan al-Hadis lebih besar dan lebih luas daripada mana-mana mazhab.
  3. Syariat Islam menjadi hujah ke atas setiap mazhab, bukan mazhab yang menjadi hujah ke atas syariat Islam.
  4. Asas yang mengharuskan mengikut mazhab adalah kerana diyakini bahawa mazhab telah berjaya memperkenalkan hukum-hukum syariat berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Dengan itu, apabila ternyata bahawa mazhab tertentu tersalah dalam sesuatu masalah dan yang betulnya berada di satu pihak yang lain, maka perlulah orang yang mengikut mazhab itu berpaling daripada mazhabnya dalam masalah itu kepada pandangan mazhab yang lebih tepat.
  5. Harus mengikut mazhab lain dalam masalah-masalah tertentu kerana tidak wajib terikat kepada kesemua ijtihad mazhab yang menjadi ikutannya. Tetapi, ikutan kepada mazhab yang lain itu mestilah mempunyai dalil-dalil yang kuat menyokong.
  6. Sebagai muqallid (pengikut mazhab), hendaklah bebaskan dirinya daripada sifat taasub bermazhab secara melulu kerana mazhab-mazhab fiqah bukannya pemecah belah Islam dan bukan sebagai agama yang menasakhkan syariat Islam. Ia sebagai metodologi dalam penyelidikan di samping cara ilmiah dalam mengistinbat hukum.
  7. Tidak perlu berasa sempit dada dengan perbezaan mazhab dan ijtihad mazhab-mazhab kerana perbezaan kefahaman itu sesuatu yang tabii kepada manusia.
  8. Memahami dan menghargai daya usaha yang dicurahkan oleh ulama-ulama mujtahidin daripada pelbagai mazhab ini. Hendaklah kita hormati dan mendoakan kebaikan mereka.

__________

Petikan daripada Formula Solat Sempurna oleh Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman

Mengapa Solat tetapi Kekal Lakukan Maksiat?

Pada suatu hari, diceritakan ada seorang lelaki  datang bertemu Hamka, ulama hebat Indonesia. Lelaki ini berkata, “Tuan yang dikasihi, ada satu perkara yang benar-benar mengganggu saya.” Hamka mendengar tanpa memberi komen.

Lelaki ini meneruskan perbualannya. “Ceritanya begini. Saya berjiran dengan dua individu. Seorang adalah kaki masjid, hidupnya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah s.w.t. Seorang lagi pula tidak menunaikan solat.” Hamka menunggu lelaki itu menghabiskan ceritanya.

“Apa yang mengganggu saya adalah sikap mereka berdua. Di kawasan rumah saya ada seekor kucing. Apabila kucing ini pergi ke rumah ahli ibadat ini, alangkah buruknya layanan dia kepada kucing itu. Langsung tidak diberikan makanan dan tidak dihiraukannya.”

Dia menyambung lagi, “Tetapi lain pula sikap lelaki yang tidak menunaikan solat itu. Dia sentiasa melayan kucing itu dengan baik. Perangainya benar-benar mulia. Persoalan yang bermain dalam fikiran saya adalah, bagaimana boleh jadi begitu? Tidakkah Allah s.w.t. menyatakan dalam al-Quran, Solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar? Tenangkanlah saya dengan pencerahan yang sebetulnya, wahai tuan yang saya hormati?”

Pak Hamka memandang lelaki itu dan tersenyum. Beliau kemudiannya memberikan jawapan ini, “Lelaki yang menunaikan solat itu, sekiranya dia tidak bersolat, tentu akhlaknya lebih jelek lagi. Manakala lelaki yang tidak menunaikan solat itu, sekiranya dia menunaikan solat, tentu akhlaknya semakin luar biasa baiknya.”

Lelaki yang bertanya itu pun tersenyum

– Soalan Maut Untuk Ustaz –

Jenguk…

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Akhirnya jenguk jugak ‘rumah’ lama nie… Pergh, berabuk yeop… Lama gila tak jengah sini.

Tahun baru pun dah masuk 15 hari. Dah 7 bulan bersama ‘bos’ baru. Suasana kerja yang baru. Kiranya kena mula dari zero laaaa.

Untuk episod yang akan datang, banyak perubahan dan anjakan yang perlu dibuat, sesuai dengan suasana dan sistem kerja yang baru. Akan ada kos lepas. Ada perkara yang perlu dikorbankan. Ada perkara yang perlu dipertingkatkan. Semuanya menuntut kepada azam dan tekad untuk dilaksanakan.

Apapun yang paling mencabar, setakat ini, ialah bilamana berhadapan dengan mereka yang nak kerja tapi tak nak buat kerja… Pelik kan? Tapi ada rupanya ‘spesis’ nie…

Bahagian yang paling best ialah bila diarahkan kerja, melenting, sedangkan kerja yang diarahkan itu ialah kerja hakiki mereka. Siap guna hujah agama lagi tu untuk membela tindakan mereka selaman ini. Best, sungguh-sungguh best.

Ish…mengumpat pulak di alam maya…hihihi…

Minggu lepas, seusai solat Zohor, datang bisikan-bisikan jahat. “Diaorang boleh je takde kat pejabat, apasal pulak aku nak tercokoh sorang-sorang kat pejabat nie?”. Tanpa banyak bicara, start enjin kereta, terus keluar pejabat menghala ke stadium, dan terus ke persimpangan Parkson. Kekanan balik rumah, kekiri kembali semula menghala ke pejabat.

Sewaktu menunggu lampu isyarat bertukar kala (warna), datang pula satu persoalan. “Macamana dengan gaji nanti? Dah la nak guna untuk bagi makan anak dan isteri…”. Haduyaaaiiiii…

Alhamdulillah, seolah-olah ada satu kekuatan yang baru, untuk terus membelok ke kiri, menuju semula ke pejabat. Biarlah mereka dengan dunia mereka sendiri. Buat setakat mana yang termampu.

Ya Allah, andainya apa yang aku buat itu dikira sebagai amalan yang baik, teruskanlah dorongan untuk aku terus berada dalam kebaikan.

Amien, Ya Rabbal Alamaien.

Salam Jumaat untuk semua…

Ingatan Untuk Diri yang Alpa…

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kali ni jom sama-sama kita baca suatu ‘karangan’ yang selalu kita dengar. Wajib dibacakan dan diperdengarkan dalam ‘function’ yang tertentu. So, enjoy…

__________

 بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله رب العالمين , والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Segala puji-pujian bagi Allah swt, Tuhan pentadbir sekalian alam, yang hidup kekal selama-lamanya. Selain dari-Nya, pasti menemui mati dan binasa. Selawat dan salam sejahtera ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, pesuruh Allah yang membawa wahyu untuk disampaikan kepada hamba-hamba-Nya dan Rasul-Nya. Seterusnya, selawat dan salam ke atas keluarga Rasulullah saw dan sahabat-sahabat baginda yang telah terkorban untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Selawat dan salam yang tidak terhingga setiap hari dan masa.

Maha Suci Tuhan Yang Maha Esa, Unggul pada Keagungan-Nya, Tunggal pada Zat-Nya dengan sifat Qudrat dan Baqa’. Maha Suci Tuhan yang berkuasa mematikan dan menghidupkan manusia, untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Sesungguhnya, setiap amalan akan diperlihatkan di hadapan semua manusia, sama ada amalan baik mahupun yang buruk, yang ternag atau yang tersembunyi dan yang diketahui atau yang tidak diketahui.

Wahai hamba Allah, ingatlah setiap amalan yang telah kamu lakukan di dunia ini, akan dibalas sama ada yang kecil ataupun yang besar, yang nyata maupun yang tersembunyi semuanya akan diperhitungkan dan kamu akan menerima balasannya di hari pengadilan nanti. Berbahagialah sesiapa yang dipisahkan dari neraka dan menjadi penghuni syurga. Ketahuilah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara dan kesenangan di dunia adalah hiasan semata-mata, tidak kekal dan tidak boleh dibawa ke mana-mana.

Wahai hamba Allah, ingatlah dari tanah kamu dijadikan, kepada tanah kamu dikembalikan dan daripadanya jua kamu dibangkitkan untuk menghadap Rabbul ‘Izzati, Tuhan pentadbir sekalian alam.

Dengan nama Allah, dengan Allah, daripada Allah, kepada Allah, di atas agama Allah yang dibawa oleh Rasulullah saw sebenarnya kamu dimatikan. Kematian inilah yang dijanjikan oleh Allah dan tepatlah janji yang telah disampaikan oleh utusan Allah. Hanya dengan sekali Israfil menempik, maka hancurlah yang ada, mati dan kemudian terhimpun kembali di sisi Allah Rabbul ‘Izzati.

Wahai (nama si mati dibin @ binti dgn nama ibu) semoga kamu dirahmati dan diampunkan dosa-dosa kamu. Mulai hari ini, berakhirlah sudah kehidupanmu di dunia, habislah sudah segala keseronokanmu, lenyaplah sudah perhiasan dan kesenanganmu yang Allah pinjamkan selama kamu hidup di dunia.

Sekarang dan mulai hari ini engkau akan berada di alam barzakh, iaitu alam lain dari apa yang engkau telah tempuhi sebelum ini. Janganlah engkau lupa terhadap perjanjian di masa perpisahanmu dari alam dunia menuju ke alam akhirat iaitu dua kalimah syahadah.

 لا إله الا الله محمد رسول الله

Ingatlah apabila datang kepadamu dua malaikat, Mungkar dan Nakir yang ditugaskan oleh Allah untuk menyoal kamu, maka janganlah engkau terkejut dan takut. Mereka sebenarnya adalah hamba Allah, sepertimana kamu juga. Mereka akan menyoal kamu dengan pertanyaan.

“Siapakah Tuhan kamu?”

“Siapakah Nabi kamu?’

“Apakah agama kamu?”

“Apakah kiblat kamu?”

“Siapakah nama saudara kamu?”

“Apakah pegangan i’tiqad kamu?”

“Apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama?”

Di masa itu hendaklah kamu menjawab dengan cermat dan terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar dan takut. Janganlah cuai dan tergopoh gapah, hendaklah kamu tenang dan berhati-hati.

Jawablah :

“Allah Taala Tuhanku”

“Muhammad saw Nabiku”

“Islam Agamaku”

“Kitab suci al-Quran menjadi ikutanku”

“Baitullah itu Kiblatku”

“Semua orang Islam dan orang beriman adalah saudaraku”

dan

“Kalimah Laa Ilaha Illallahu Muhammadur Rasulullah menjadi i’tiqad peganganku”

Ketahuilah wahai (nama si mati dibin @ binti dgn nama ibu) bahawa mati itu benar, masuk kubur itu benar, soalan Mungkar dan Nakir di dalam kubur itu benar, bangkit semula dari kubur itu benar, perkiraan amalan itu benar, titian sirat itu benar, neraka itu benar dan syurga itu benar dan tidak ragu-ragu lagi hari kiamat itu pasti datang. Di masa itu, Tuhan akan membangkitkan semula yang ada di dalam kubur.

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Penghibur bagi tiap-tiap kesunyian dan kesepian, Yang Sentiasa Ada dan tidak jauh dari makhluk-Nya, kami memohon daripada-Mu, hiburkanlah kesepian kami dan kesepian saudara kami ini, rahmatilah kami dan saudara kami ini ketika keseorangan di dalam kubur. Lancarkanlah lidah kami dan saudara kami ketika menjawab soalan-soalan para malaikat, tetapkanlah iman kami dan iman saudara kami dengan rahmat-Mu Yang Maha Luas.

ربنا آتنا فى الدنيا حسنة و فى الآجرة حسنة وقنا عذاب النار

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم والحمدلله رب العالمين

Muzik Menurut Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah

Muzik memainkan peranan penting secara semulajadi dalam kehidupan menusia seperti perkembangan tumbesaran dan kecerdasan kanak-kanak, bidang keagamaan dan kesenian. Ia berkembang dan mewujudkan satu lambang budaya bagi mewakili identiti sesuatu etnik atau tamadun. Dalam peperangan, muzik juga digunakan untuk menaikkan semangat para pahlawan untuk berjihad. Para pendakwah juga seringkali menggunakan muzik sebagai metode penyampaian mereka. Bahkan, dalam memperdengarkan bacaan al-Quran, pelbagai alunan variasi lagu tarannum yang sahih digunakan oleh qari dan qariah. Dalam bidang pendidikan pula, muzik memainkan peranan yang penting bagi menajamkan ingatan di mana para pelajar menggunakan kaedah muzik dalam menghafal pelajaran mereka. Artikel konseptual ini disediakan berdasarkan kajian kepustakaan. Perbincangan berkisar tentang perbandingan yang terdapat di antara muzik yang diharuskan dengan muzik yang tidak diharuskan menurut pandangan Islam melalui al-Quran dan as-Sunnah.

Kesenian Islam adalah kesinambungan daripada zaman silam yang telah berkembang dan dicorakkan oleh tauhid yang tinggi kepada Allah S.W.T. Kesenian Islam memiliki khazah sejarahnya yang tersendiri dan unik. Ianya telah berkembang sejak zaman Nabi Allah Daud ‘A.S. dan puteranya Sulaiman ‘A.S. telah dan terus berkembang pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. dan zaman selepas kewafatan Baginda S.A.W. sehingga kini. Kesenian Islam terus berkembang di dalam tamadun Islam mengikut kreativiti umat Islam di dalam bentuk dan falsafahnya yang masih berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan syara’.

Muzik Menurut Perspektif Islam

Persepsi mengenai muzik Islam di kalangan masyarakat lazimnya tidaklah begitu positif. Hal ini dapat dikaitkan dengan pandangan bahawa kreativiti dalam bidang muzik selalu menyalahi hukum Islam. Pandangan ini sebenarnya tidak tepat bahkan berdasarkan prasangka semata-mata tanpa mengetahui terlebih dahulu pengertian yang mendasari seni muzik itu sendiri. Muzik merupakan hasil cetusan fikiran dan minda manusia, sedangkan agama Islam adalah anugerah Allah S.W.T. Di sudut yang lain,muzik adalah sebahagian daripada kesenian, sedangkan kesenian adalah rangkuman daripada kebudayaan. Ini menunjukkan bahawa kebudayaan mempunyai kaitan dengan kesenian.

Dari segi sejarah, Nabi Muhammad S.A.W.dan para sahabat pernah berlagu dan berdendang ketika mendirikan masjid Nabawi di Madinah dan ketika menggali parit ketika perang Khandak (Sahih al-Bukhari). Justeru itu, al-Ghazali tidak teragak-agak mengemukakan pandangan ulama’ berhubung keharusan dan pengharaman mendengar nyanyian dan muzik (al-Ghazali). Begitu juga dengan penegasan Ibnu Taimiyyah bahawa nyanyian dan muzik harus berupaya memperbaiki hati dan menyucikan jiwa , bahkan mendengar ayat-ayat Allah dan lagu-lagu tasbih diberi ganjaran pahala yang besar.

Sesuatu yang indah itu pada dasarnya disukai oleh Allah S.W.T. kerana Dia Yang Maha Indah dan menyukai yang indah. Namun demikian, yang menetapkan sesuatu yang benar-benar indah ialah Allah sendiri, bukan manusia atau nafsunya. Dalam batas tertentu nilai estetika atau keindahan bersifat relatif, tetapi tidak pula dinafikan adanya kesamaan dan kesepakatan kumpulan manusia tertentu terhadap sesuatu yang indah. Justeru keindahan adalah satu fenomena tabi’i di mana tiap-tiap manusia dapat merasakannya.

Ulama’ Islam telah menetapkan hukum asal pada sesuatu perkara itu adalah harus berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah : (2:29) yang bermaksud :

“Dialah Allah yang menjadikan sesuatu yang ada di atas muka bumi untuk kamu”

Sehubungan dengan itu, tidak boleh memutuskan haramnya sesuatu itu melainkan mestilah berlandaskan kepada nas yang sahih daripada al-Quran, hadith atau ijma’ yang thabit dan meyakinkan.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda :

Apa saja yang dihalalkan oleh Allah S.W.T. di dalam kitabNya, adalah halal, apa saja yang diharamkan oleh Allah S.W.T. di dalam kitabNya, adalah haram dam apa saja yang didiamkan oleh Allah S.W.T. tentang kedudukannya, terimalah dari Allah kemaafanNya, kerana sesungguhnya Allah tidak akan melupakan sesuatu pun.

Imam al-Ghazali dalam karya beliau, Ihya’ ‘Ulum al-Din menjelaskan bahawa sebenarnya tidak ada keterangan yang jelas dari sunnah Nabi S.A.W. yang melarang penggunaan alat-alat muzik. Menurut Imam al-Ghazali sebahagian instrument muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang. Seni muzik yang dilarang kepada umat Islam ialah sekiranya berada di dalam keadaan yang bersekongkol dengan kumpulan peminum arak, perzinaan dan lain-lain perbuatan dosa.

Ulama’ bersepakat untuk mengharamkan segala bentuk muzik yang diiringi dengan nyanyian yang mengandungi perkataan yang kotor, fasiq atau mendorong seseorang untuk melakukan maksiat.

Bagaimanapun, para ulama’ juga berselisih tentang bentuk nyanyian, samada baik dengan muzik atau tidak, bahkan mereka menganggap itu mustahab. Terdapat daripada ulama’ yang menolak nyanyian apabila menggunakan muzik dan memperbolehkan apabila tidak diiringi dengan muzik. Sebahagian yang lain ada yang melarang secara mutlak, diiringi dengan muzik atau tidak, dan menganggap itu perbuatan haram, bahkan sampai ke peringkat dosa besar.

Di abad ini, Islam dicabar daripada berbagai-bagai sudut. Musuh menggunkan segala-galanya untuk menghancurkan Islam. Mereka mengetahui umat Islam mudah leka apabila diberikan kemewahan dan hiburan. Lantas mereka menggunakan tamadun dan kebendaan mereka dengan mengembangkan bidang seni bagi melalaikan umat dan terus menidurkan mereka. Natijahnya umat leka daripada sumber kekuatan mereka iaitu al-Quran. Umat Islam di masa kini lebih gemar dan khusyuk mendengar lagu-lagu dendangan manusia daripada alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quranul Karim.

Adapun masih banyak pendapat ulama’ kebenaran untuk bernyanyi, bermain alat muzik perlulah sentiasa berhati-hati, tidak melanggari batas pergaulan, tidak mendedahkan aurat dan sebagainya. Walau bagaimanapun lagu atau nyanyian masih boleh dilakukan sekiranya prinsip penyampaian mesej nyanyian tidak lari dari landasannya serta perlulah bercorak kebenaran serta mentauhidkan Allah S.W.T.

Khairil Ashram bin Che Derasid

Buletin ILIM * Mei-Ogos 2013

Tahun Baru 2014

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, syukur masih lagi dipanjangkan nyawa untuk meneruskan hidup. Mudah-mudahan dalam redho Allah hendaknya.

Permulaan tahun baru 2014 di Miri macam biasalah, diwarnai ruang langit tengah malamnya dengan dentuman bunga api. Tengok dari rumah saja, malas nak bawa anak-anak ke tempat program-program macam tu. Lagi pun Abg Ajwad tak tahan dengan asap. Anpus @ Lelah.

Macam-macam cara orang sambut tahun baru. Ada A, ada B, ada C. Bergantung kepada ‘mazhab’ yang di anuti. Apapun, bersederhanalah dan ikutlah apa yang telah di gariskan oleh agama. Insya Allah, selamat dunia dan akhirat.

Tapi, tahun 2014 ni dijangka mencabar. Dalam segenap aspek kehidupan. Apa nak buat, kena hadapi jugak la. Positifkan diri, ye tak? (Tangan di bahu, mata pandang atas)…huhuhu…

Anak makin membesar, bertambah tidak rasanya…hehehe… Dulu diaorang kecil, buat cara kecil. Sekarang ni dah makin besar, lain pula permainan diaorang.

Kerja yang sudah tentu kena naiktaraf. Mana boleh sama dengan tahun lepas.

Pencapaian peribadi pun nak kena ambil kira. Apa yang boleh di buat untuk menambah nilai diri dan keluarga.

Insya Allah, cuba buat yang terbaik. Usaha, doa dan tawakal. Mudah-mudahan Allah jadikan kita semua sebagai hamba yang lebih baik daripada sebelum ini.

Insya Allah.

Abu Ajwad

Miri, Sarawak