Archive for Julai 2009

H1N1

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Jumaat 24 Julai 2009, berlaku sedikit gempar di IKBN kerana di ‘lawati’ oleh pihak Kesihatan. Ini berikutan begitu ramai pelatih yang mengalami demam panas. Hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan, ada beberapa pelatih yang disyaki mengidap H1N1. Hasilnya mulai 25 Julai 2009 jam 8.00 pagi, seluruh IKBN akan dikuarantinkan selama 1 minggu. Apa pun, mohon Allah pelihara kami semua dari wabak yang bahaya ini.

Semua aktiviti dibatalkan. Program 4Y, gotong royong di Masjid Taman Tunku dan segala aktiviti keluar masuk di larang selama 1 minggu ni. Malam tadi, lepas isya’ cepat-cepat pegi eMart beli ration untuk seminggu ni. Isteri dan anak-anak pun dah di pesan supaya jangan keluar rumah untuk 1 minggu ni.

Cuma, bila ada sahabat tipon pagi ni suruh keluar menumpang rumah kawan-kawan atau menginap di rumah penginapan yang murah-murah disekitar Miri, sebab dia kata risaukan isteri yang tengah mengandung. Tapi bila fikir balik, tak pa lah, lagipun sapa nak jaga solat budak-budak di dalam kalau saya tinggal di luar. Hanya pada Allah aku berharap.

Semua kakitangan juga tidak perlu ke pejabat, duk rumah ja. Itu C. Zan kata. Dia pun awal-awal lagi dah keluar untuk menumpang di rumah Junaidi dan Talib. Untuk masa depan katanya. Mana aci jeneral lari dulu…Oooppp…sori C. Zan.

Apa pun saya harap wabak yang melanda ini memberi sedikit keinsafan kepada semua pihak bahawa tidak ada yang mampu menghalang wabak ini daripada menular kecuali Allah. Kalau Allah izinkan semua jadi. Jadi marilah sama-sama kita ambil peluang ini untuk kembali memuhasabah diri dan mendekatkan diri dengan Allah. Mudah-mudahan Allah akan memberi yang terbaik kepada kita semua. Insya Allah.

Abu Ajwad

Miri, Sarawak

Sekejap…

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…

Maaf sebab lama tak kemaskini laman ni. Saya disibukkan dengan pemeriksaan aset. Last minute, pegawai bagi tau yang saya kena sediakan laporan aset untuk surau. Terlepas pandang dia kata. Biasa la… surau.

Minggu depan insya allah saya akan cuba siapkan posting yang saya nak kongsikan dengan semua. Masih dalam draf lagi.

Oklah. Selamat malam.

Abu Ajwad

Miri, Sarawak

PPSMI ; Pandangan Peribadi

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Akhirnya PPSMI dimansuhkan pelaksanaannya berkuatkuasa 2012. Alhamdulillah…syukur. Aik? Bersyukur pulak dia? Ini langkah ‘mengkebelakangkan’ rakyat Malaysia. Itu ada orang kata laa…

Pada pandangan peribadi saya, saya bersetuju dengan pemansuhan PPSMI. Bukan bermakna menolak terus kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, tetapi dalam usaha mengekalkan Bahasa Melayu/Malaysia kita hendaklah turut sama mengukuhkan juga penguasaan Bahasa Inggeris.

Dalam kereta pagi tadi semasa dalam perjalanan menghantar isteri kesekolahnya, kami berbicara berkaitan dengan isu ni. Isteri saya (atau is-one mengikut kawan saya Talib), berpendapat alang-alang buat, biar buat terus. Dia mengatakan bahawa pengajaran Matematik dan Sains di universiti diajar dalam bahasa Inggeris. Jadi biar diteruskan PPSMI agar pelajar senang nanti apabila belajar di universiti.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Pada pandangan saya, pelajar universiti belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris OK. Tak ade masalah, kerana mereka sudah menguasai asas-asas dan konsep Matematik dan Sains. Berbanding dengan pelajar-pelajar di sekolah rendah terutamanya kawasan luar bandar yang terpaksa belajar konsep dan asas Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, yang mereka kurang faham. Kalau nak menguasai asas dan konsep pun dah tak boleh, bagaimana nak selesaikan masalah yang lebih rumit lagi.

Ini kerana benda atau perkara yang menjaga ilmu itu adalah bahasa. Rosak bahasa, hilanglah ilmu. Begitulah pendapat guru saya, Ust. Mohammad Mustafa, sewaktu di Nilam Puri. Pelajar-pelajar Melayu boleh tahu 1 + 1 = 2, 3 – 1 = 2 kerana memahami konsep “tambah” atau “tolak”. Tapi apabila disebut “plus” dan “minus“, mereka terpaksa belajar bahasa Inggeris untuk memahami konsep tersebut. Sedangkan sama sahaja.

Mengikut pembacaan saya, tidak pernah tercatat dalam sejarah dunia mahupun sejarah bangsa dan negara, yang maju dengan menggunakan bahasa asing, bukan bahasa ibunda mereka. Tidak pernah dan tidak pernah. Realitinya sekarang kita boleh merujuk kepada negara Jepun dan Korea yang maju dengan menggunakan bahasa ibunda mereka. Manakala negara yang cuba untuk menjadi maju dengan menggunakan bahasa asing, kita boleh rujuk kepada negara Turki dan Filipina. Kita boleh lihat perbezaannya.

Sejarah juga mencatatkan, orang-orang Arab menjadi satu bangsa yang maju kerana ilmu. Mereka menjadi cerdik pandai dalam segenap bidang lapangan ilmu kerana berlakunya penterjemahan buku-buku sarjana Greek ke dalam bahasa Arab. Apabila sudah diterjemahkan, ianya dibaca dan dikembangkan lagi oleh orang lain. Bukan semua orang berkemampuan untuk belajar dan membaca di dalam bahasa Greek.

Kemudian langkah yang serupa juga dilakukan oleh orang-orang Eropah apabila menterjemahkan buku-buku sarjana Islam seperti Ibnu Sina dan Ibnu Rushd dan lain-lain ke dalam bahasa Latin dan Inggeris, sehingga mengeluarkan diri mereka dari Zaman Kegelapan.

Kalau dulu di universiti, kita akan ada dua aliran. Pertama ialah aliran sastera bagi mereka yang tidak berminat atau kurang menguasai bahasa Inggeris. Yang kedua pelajar aliran sains yang minat dan menguasai bahasa Inggeris.  Tetapi dengan kehadiran PPSMI kita akan ada tiga aliran. Pertama, sastera. Yang kedua ialah pelajar yang minat dengan aliran sains dan menguasai bahasa Inggeris dan yang ketiga ialah pelajar yang minat aliran sains namun tidak menguasai bahasa Inggeris.

Artikel ini bukan untuk menolak pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris secara total, kerana saya sendiri suka kepada bahasa Inggeris. Sejak dari sekolah rendah hingga sekolah menengah, saya menganggotai Kelab Bahasa Inggeris. Namun yang perlu ditingkatkan lagi ialah teknik penyampaian dan pengajaran di peringkat sekolah rendah terutamanya, agar murid-murid faham, suka dan cintakan bahasa Inggeris, tanpa mengabaikan bahasa Melayu/Malaysia.

Isteri saya juga mengakui apabila saya beritahu bahawa terkadang murid-murid tidak suka dengan satu-satu matapelajaran kerana tidak suka dengan guru yang mengajar. Sebab tak suka cikgu maka apa saja yang diajarkannya juga tidak suka. Ini antara cerita-cerita realiti di sekolah.

Sekali lagi, bukan saya bermaksud menolak kepentingan bahasa Inggeris tetapi berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan, banyak kemudaratan berbanding manfaat yang diterima.

67694837_e80d63cdaf

Saya ada satu ebook berkaitan PPSMI. Sapa nak boleh bagi email. Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris Bagi Mengajarkan Sains dan Matematik yang disusun oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan.

Abu Ajwad

Miri, Sarawak

Doa Majlis Rasmi & Separuh Rasmi

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

“Ustad di mana, hah?” tanya seorang kawan. Maka kawan sorang lagi bagi tau yang saya pergi Kursus Panduan Membaca Doa Majlis Rasmi & Separuh Rasmi. “Doa pun nak kena kursus ka?” sindir kawan sorang lagi.

Mungkin bagi sesetengah orang, kursus sedemikian merupakan perkara yang remeh. Namun, bagi kami di dalam skim perkhidmatan Hal Ehwal Islam, tak dapat lari dari beberapa “tugas hakiki” antaranya baca doa lah. Saya masih ingat semasa mula-mula dikehendaki membaca doa dalam satu majlis di IKBN ni. Kita pun baca macam biasalah. Semua bahasa Arab lah. Dan macam biasa juga, semua orang pun amin lah. Habis.

Namun, apabila saya menghadiri kursus tersebut yang dianjurkan oleh Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, pandangan saya terhadap tugas membaca doa ni berubah. Kalau dulu, baca doa ni sekadar baca je lah. Tanpa kita sedari ianya merupakan antara medium yang boleh digunakan untuk kita menyampaikan dakwah.

Boleh ke baca doa ni menyampaikan dakwah? Haaa… kena baca sampai habis la…

Bayangkan, dalam satu-satu majlis rasmi akan dihadiri oleh tetamu yang bukan sahaja terdiri daripada mereka yang Islam, bahkan juga bukan Islam. Kita akan membaca doa yang lazimnya dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah dan selawat Nabi dalam bahasa Arab. Tapi apabila kita membaca isi doa tersebut, kita baca dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris. Disinilah yang menjadikan doa kita itu sebagai alat dakwah.

Nanti kita boleh teliti contoh-contoh doa yang telah disediakan oleh pihak JAKIM dalam buku Doa Majlis Rasmi & Separuh Rasmi Serta Panduan Membacanya. Saya akan cuba sediakan pautan untuk mereka yang berminat memuat turun salinan buku tersebut dalam format PDF. Untuk awal ni, kalau sapa nak nanti saya emelkan.

Tak lupa juga saya ucapkan terima kasih kepada pihak ILIM keranan menganjurkan kursus tersebut. Juga kepada team fasilitator yang diketuai oleh Tuan Anas Asmawi (www.tuanasmawi.my), juga para penceramah antaranya Imam Besar Masjid Putrajaya, kerana berkongsi ilmu dan maklumat juga petua dalam aspek pembacaan doa.

Abu Ajwad

Miri, Sarawak

Usrah itu wajib @ tak?

Assalamualaikum dan salam perpaduan…

Kali ni saya nak kongsi satu artikel dari http://www.tranungkite.net, laman yang cukup banyak artikel-artikel menarik dalam pelbagai tajuk dan topik. Artikel ni saya copy n paste dalam word untuk menjadi simpanan saya. Kini, boleh kita kongsi sama-sama.

__________

Oleh muhakim

“Abang Hakim, usrah tu wajib ke? “ satu soalan keluar dari peserta muslimat Simposium Nuqaba’ anjuran Rakan Masjid. Kelihatan muka peserta yang lain menanti dengan penuh tanda tanya.

“Usrah itu wajib dan tak wajib”. Jawab ana dengan tenang dan yakin. “Aik, macam mana pula tu?” Soal pula peserta muslimat yang lain. Ana sudah duga persoalan itu akan keluar. Mulut mengukir senyum. Bagus, strategi untuk memancing minat mereka bertanya dah mengena.

Begini, usrah itu wajib kepada orang yang menjadi ahli da’wah dan tidak wajib kepada yang bukan ahli da’wah.” Permulaan jawapan yang sengaja dibiarkan berselirat. Ya. Umpan mengena lagi, kali ini dari adik muslimin. “Erm.. macam mana tu abang Hakim, bukan ke setiap orang yang mengatakan lailaha illa allah itu seorang daie”. Jelas kelihatan dan keserabutan di muka setiap peserta.

Slot tengahari memang sukar untuk dipenuhi. Mata mudah mengantuk. Badan cepat letih. Sebab itu ana mengambil pendekatan provokasi dalam menyempurnakan slot Ketika Cinta Bertasbih tengahari ini. Slot yang menjemput naqib yang pernah mengendalikan smart group dengan jayanya satu ketika dahulu. Entah kenapa, komiti gatal menjemput ana dan ana pula terlepas cakap memberi persetujuan. Sedangkan, ana bukanlah yang terbaik. Namun, kerana Allah demi Islam, ana galas juga amanah ini.

Ana menjawab, “Sebenarnya, kewajiban menyertai usrah ini jatuh kepada ahli da’wah iaitu orang yang telah berintima’ @ menyertai jemaah islam secara langsung. Sebagai analogi, hanya orang yang mendaftar di universiti sahaja yang wajib masuk ke lecture. Masyarakat yang tidak mendaftar di universiti tidak wajib untuk masuk ke lecture walaupun umur mereka sebaya.”

Justeru, dengan persetujuan menyertai jemaah islam bererti kita telah bersetuju menurut segala perancangan yang disusun oleh jemaah. Perkara pokok sebuah jemaah ialah tarbiyyahnya dan tunjang tarbiyyah ialah usrah.

Menyertai usrah adalah wajib kepada ahli jemaah kerana disitu tempat percambahan fikrah jemaah berlaku. “Abang Hakim, maknanya usrah tu tempat kita menuntut ilmu ye?” seorang peserta mengajukan soalan. Ana tersenyum. Bagus, mereka semua bersemangat dan tidak tidur.

“Usrah bukanlah tempat menuntut ilmu!” Beberapa orang peserta kelihatan tercengang dan terkebil-kebil mata. Ana menyambung lagi, “Usrah juga bukanlah tempat untuk berukhuwwah” Kelihatan kerut di beberapa muka peserta. Sengaja ana biarkan mereka terus berfikir.

Sebenarnya usrah adalah tempat untuk kita berbincang, bukan untuk menadah kitab. Usrah bukanlah tempat untuk berukhuwwah, tapi tempat untuk membina ukhuwwah. Outcome dari usrah barulah kita katakan mendapat ilmu dan ukhuwwah.

Sebagai analogi, di kilang kereta, orang tak naik kereta. Di situ tempat buat kereta. Dari besi yang besar, keras serta tidak berwarna, ia diketuk, dipanaskan , di pandu uji , dibentuk acuan dan kemudian dicat. Besi itu dipasangkan pula dengan stering, tayar , cermin dan pelbagai lagi. Setelah proses ‘tarbiyah’ itu berlaku, barulah sebuah kereta yang canggih dan lawa di pasarkan. Berebut-rebutlah kita memuji kemantapan kereta itu. Itu jika proses pembuatannya teliti, kalau cincai…. Bersiap sedialah dengan komen dan kutukan pengguna.

Begitulah dengan usrah, segala proses pembentukan itu berlaku dalam usrah. Dari seorang yang tidak dikenali kepada orang yang terkenal. Hasilnya hanya dapat dilihat di luar usrah. Sebab itu dahulu pernah dipopularkan satu istilah, “Usrah yang sebenar bermula dengan tasbih kafarah dan berakhir dengan al fatihah.”

Muka peserta sudah mula cerah. Awan redup keliru mula berarak pergi. Kini perlu menghuraikan jawapan tidak wajib usrah pula. Peserta semakin tekun dan fokus. Perasaan ingin tahu mereka dicabar. Bagaimana satu soalan boleh ada dua jawapan yang bertentangan?

Tidak wajib menyertai usrah kerana dia bukan ahli da’wah. Menurut al Fadhil Ustaz Fathi Yakan, mad’u boleh diklasifikasikan kepada 2 golongan. Golongan istifadiah dan golongan jamhariah.

Golongan istifadiah ialah golongan ekslusif. Mereka sudah ada kesedaran islam. Bahkan mereka sudah mula dan mahu menyebarkan islam. Bagi golongan ini, mereka wajib berusrah kerana mereka merupakan golongan yang sudah berintima dengan jemaah. Mereka inilah yang kita gelarkan sebagai ahli da’wah.

Golongan jamhariah ialah golongan orang awam. Mereka baru nak berjinak-jinak dengan Islam. Kalau di UTP, mereka ialah adik-adik smart group. Mereka belum lagi menjadi ahli da’wah. Pendekatan kena berbeza dengan orang yang berlatar belakang pendidikan Islam. Kena banyakkan program sampingan seperti ziarah, riadah, makan bersama, rehlah dan apa sahaja yang boleh menarik minat.

Rumusan sudah dibuat. Peserta mengangguk-angguk tanda faham. Selepas habis slot tengahari itu, ana pasang satu video klip gambar usrah yang ana kendalikan. Ada yang kehairanan. Tiada pun ‘sut usrah’ yang kami pakai ketika usrah?

Ya, memang tiada set jubah dan serban dalam usrah kami. Wahai adikku sayang, tiada siapa kata usrah hanya boleh dijalankan di masjid semata bukan? Ingatlah , usrah bukanlah tempat untuk menuntut ilmu, tapi tempat untuk membina kefahaman. Selamat berusrah adik-adikku. (^^)/”

Sentiasa Bersangka Baik Dengan Allah !!!

Sentiasa Bersangka Baik Dengan Allah !!!

__________

* Diharap sedikit perkongsian ini dapat mencambahkan lagi koleksi maklumat dan ilmu dalam diri kita. Ingat, usrah yang sebenar bermula dengan tasbih kafarah dan berakhir dengan al fatihah !!!

Abu Ajwad

Miri, Sarawak

Pendaftaran Pelatih Pengambilan Ke 14

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Hari ini, 6 Julai 2009, agak meletihkan dan hari yang paginya kami semua disibukkan dengan pendaftaran Pelatih Baru Pengambilan ke 14 untuk IKBN Miri. Ianya serentak dengan semua IKBN seluruh Malaysia. Aku tak terlibat secara langsung dengan acara pengambilan ni, cuma diminta oleh Pengerusi KESKEB, En. Aziz bin Jamal, untuk buka kaunter fotokopi. Jadi aku ambik kesempatan ni untuk tambah duit surau. Guna printer surau dan semua kutipan dari hasil fotokopi hari ni masuk dalam tabung surau. Dapat la dalam RM 93.00, tapi 100 la, senang kira.

Hah…sebelum terlupa, tahniah diucapkan kepada En. Aziz bin Jamal atas kelahiran puteri terbaru dan terkininya pada hari Jumaat yang lepas. Moga menjadi anak yang solehah, permata hati ibu dan ayah.

اللهم بارك هذه البنت من أول اليوم الى أخر الدهر

اللهم بارك لنا فيما أعطيتنا وارحمنا في حياتنا واغفرلنا بعد موتنا برحمتك يا أرحم الراحمين

Itu doa yang diajarkan oleh sahabat aku, Ust. Hisomudin bin Bakar, orang Changlun. Lama tak dengar berita dia.

Berbalik tentang pengambilan pelatih baru, harap mereka yang datang mendaftar pada hari ini akan menghabiskan latihan selama lebih kurang 12 bulan bagi Tahap 3 dan 24 bulan bagi tahap 1. Bukan apa, bila melihat betapa bersungguhnya ibu bapa yang turut sama datang dan menguruskan urusan kemasukan anak mereka, jadi tidak berbaloi kerana perbuatan anak-anak mereka semasa di IKBN ni. Hampir 2 tahun bertugas di sini, banyak kes melibatkan pelatih yang didenda samada dijatuhkan hukuman tugas berat, di gantung pengajian mahupun diberhentikan, yang paling menerima kesan ialah ibu bapa pelatih berkenaan. Ini kerana apabila pelatih diberhentikan dari latihan, surat makluman akan dihantar kepada ibu bapa dan penjamin mereka. Seterusnya, mereka akan dikehendaki membayar denda iaitu segala kos yang telah di keluarkan oleh kerajaan untuk menanggung mereka selama mana mengikuti latihan di IKBN.

Mengikut apa yang di taklimatkan oleh Pengarah IKBN Miri kepada pelatih baru dan ibu bapa yang hadir, kos bagi seorang pelatih untuk mengikuti latihan di IKBN ialah lebih kurang RM 5,000 seorang. Ini tidak termasuk penginapan, makan minum, kemudahan latihan di bengkel dengan peralatan kemahiran yang terkini dan kemudahan-kemudahan lain yang disediakan oleh kerajaan secara percuma. FOC. Mereka juga akan diberikan sepersalinan pakaian untuk digunakan semasa latihan di bengkel. Pelatih juga akan diberikan wang saku sebanyak RM 100 bagi tahap 1 & 2, dan RM 200@RM 300 bagi tahap 3. Kadang-kadang belum habis lagi latihan di IKBN, dah dapat pekerjaan. Ini bagi pelatih yang cemerlang la. Sebagai contoh, pada sesi 1/2009 yang lepas, lebih kurang 4-6 orang pelatih telah diterima bekerja denga Proton di Shah Alam. Mereka ditawarkan pekerjaan 1 minggu sebelum peperiksaan akhir bermula!

Cuma yang sedikit terkilan ialah, kurang pelatih dari kaum bumiputera tempatan khususnya belia Melayu untuk mengambil kesempatan di atas peluang yang ditawarkan oleh kerajaan ini. Berbanding dengan belia di kalangan masyarakat Cina yang sentiasa merebut apa segala peluang yang ditawarkan oleh pihak IKBN Miri khususnya. Jadi kalau kita tertinggal belakang, jangan marahkan orang lain kerana berada di hadapan. Ini sikap yang patut kita semua contohi bersama-sama tanpa sebarang rasa prejudis dan perkauman.

Takat ni dulu kot. Isteri dan anak-anak dah tunggu nak makan talam sama-sama. Kita bicara lain kali yaaa…

Abu Ajwad

Miri, Sarawak

Tasauf

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

“Ente kenal tak dengan diri ente?”, “Ente sembah siapa masa solat tadi?”. Apa perasaan anda jika tetiba anda ditanya sedemikian oleh seseorang? Bagaimana cara nak jawab agaknye? Rasa-rasa boleh jawab tak?

Apabila kita menyentuh persoalan tasauf, maka terbayang di kepala kita segolongan orang yang duduk berzikir dan menghayunkan badan mereka ke kiri dan kanan, dan macam-macam lagi.

Cuma diposting yang ringkas ini, saya cuba nak menyatakan pandangan peribadi saya. Iaitu, pada pandangan saya, guru mursyid yang paling agung ialah Rasulullah sendiri. Itu guru tasauf yang paling aula dan afdhal untuk diikuti laluan tariqatnya. Sejajar dengan apa yang Allah sebut dalam surah al-Ahzaab ayat 21.

Saya akan cuba uploadkan posting berkaitan dengan tasauf ni, yang menarik untuk tatapan kita semua. Tapi, kena cari dulu la. Tak ingat simpan di mana dah…

Abu Ajwad

Miri, Sarawak