Archive for April 2011

Jamaah Islam Contoh Siri 4 (Akhir)

16. Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu helah musuh, sentiasa bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat kepada Allah apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.

17. Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakkan Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang dilakukan adalah sebagai saham yang berharga kepada generasi akan datang. Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan bersabar, di dunia ini dan juga di akhirat sebagaimana firman Allah swt dalam surah al-Hadiid: 28, “Hao orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah akan memberi rahmatNya kepada kamu dua (2) bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan, dan Allah akan mengampunimu.”

18.  Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta bergerak (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, perundangan, dakwah, kesihatan, ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.

19. Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah, ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.

20. Jemaah ini sentiasa menekankan ketaatan kepada Allah. Mereka ini akan terus beribadat kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya dengan apa sekalipun. Dan ingatlah, sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

Akhir kata, kita sebagai pendukung kepada gerakan Islam di kampus ini hendaklah menuju satu matlamat yang jitu bersama dengan kepimpinan kita untuk menongkah segala arus cabaran yang menanti kita. Buanglah segala masalah sesama kita dan fokuskan matlamat kita dihadapan itu. Insya Allah, berkat kerja jama’iyyah kita, Islam mampu mendominasi kampus uniperdana ini.

Nukilan : Taqarrub 1420

Jamaah Islam Contoh Siri 3

11. Jemaah ini hendaklah bercampur gaul dengan semua orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupn pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mendirikan Negara Islam.

12. Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta organisasi (tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah dididik (tarbiyyah) sepenuhnya, membentuk barisan-barisan yang terpilih dan berkeperibadian Islam, dan tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak sihat, demi menjamin penerusan serta mesej dakwah yang dibawanya.

13. Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang tanggungjawab tertentu atau pimpinan (muhasabah). Konsep ketaatan dan kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan.

14. Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mengkafir dan isu perbezaan jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah dengan sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari ataupun benci kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah berteraskan kasih-sayang (mahabbah), waqii (persekitaran) semasa, tawazun (keseimbangan), hazar (waspada), dan tasawwur (prospek) amal yang jelas. Dari segi akidah dan ibadah, jemaah ini tidak bertolak ansur sedikitpun.

15. Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikut isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama memberi sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama-sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam keseluruhannya.

– To be Continued –

Keliru…

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Hari ni saya nak kongsi 2 sms yang saya terima dari salah seorang anak murid saya. Mungkin kalau ada kawan-kawan yang ingin nak bagi pendapat, saya alu-alukan.

SMS yang dihantar di taip dalam short form, jadi saya taip balik guna long form. Tapi masih mengekalkan struktur ayat dia.

*******
SMS 1, 12.40 tgh, 5 April 2011

Tah la ustaz, semenjak pakai punch card ni, saya datang surau kerana punch card.

*(Untuk makluman, kami menggunakan sistem punch card bagi kehadiran pelajar ke surau untuk mendirikan solat jemaah)

Saya pun tak tau nak kata macam mana. Jika saya di kalangan orang yang benar, maka ALLAH akan melindungi diri saya tapi andai saya di kalangan orang yang dusta, biarlah Allah memutuskan di mana saya berada dan saya redha dengan ketentuan Allah.

Kadangkala saya terfikir, di mana saya dari pandangan Allah, kadangkala terfikir juga dosa dan kematian tapi saya tak jumpa jalan yang Allah redhoi, mungkin kerana hati saya yang terlalu kotor.

Bila fikir-fikir balik, saya rasa diri seperti manusia yang ingkar pada Allah. Tapi satu perkara yang saya fikir, samada saya mau jadi manusia yang Allah muliakan dari mula hidup tapi engkar, atau manusia yang Allah muliakan kerana mencari redha Nya.

Tatkala hati dalam kesedihan, saya sentiasa ingat pada Allah tapi tatkala saya gembira, saya lupa pada Allah. Adakah Allah akan menerima hamba seperti saya? Cuma yang saya boleh kata, saya manusia yang cukup hina. Dan biarlah apa yang saya lakukan, hanya tuhan yang tau.

*******
SMS 2, 2.55 petang, 5 April 2011

Kadang-kadang saya rasa tak ada orang dapat bantu saya kecuali diri saya dan perlindungan Allah. Saya tahu Allah sentiasa memaafkan hambaNya, tapi saya bukanlah hamba yang baik. Dan saya juga hamba yang mudah jatuh pada hasutan syaitan dan nafsu.

Biar pun berbuih orang bagi ceramah kat saya, saya tetap jadi diri saya. Saya bukan suka di paksa. Saya hanya mahu mencari agama dengan cara yang datang dari hati bukan dari paksaan. Ada pun, paksaan yang dibuat dalam IKBN ni untuk pelajar mencari agama, tapi ada beberapa perkara yang buat saya betul-betul tak suka.

Tangan saya selalu melakukan kejahatan, tapi jarang memegang al-Quran, mulut saya selalu menyebut kata fitnah tapi jarang sekali menyebut qalam Allah, pandangan saya selalu ke tempat yang hina tapi tidak pernah memandang kebesaran Allah, akal saya selalu berfikir benda kejahatan tetapi jarang sekali memikir Allah, hati saya selalu ke tempat maksiat tapi jarang sekali hati saya kepada agama.

Jadi masihkah Allah meletakkan saya pada orang yang benar? Bukanlah saya tidak tahu pasal agama tapi saya tak tau dimana saya berada…

*******

Itu dia punya panjang sms yang dia hantar kepada saya. Setakat sekarang saya masih tak jawab. Kadang-kadang ada soalan yang tidak perlu di jawab, kerana itulah jawapannya.

Kepada kawan-kawan, kalau ada pandangan boleh komen ye…

ابو اجود
Abu Ajwad
Miri, Sarawak

Program oh Program

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Lama tak menaip. Bukan apa, lepas balik dari Putrajaya hari tu, demam. Kemudian, kerja yang menanti untuk disiapkan dalam kadar segera juga agak banyak.

Hari ni, syukur pada Allah sebab dapat juga laksanakan Bengkel Imam dan Bilal 2011. Walaupun dalam masa yang suntuk, dapat juga kami buat sebab dah tangguh banyak kali. Jadi, kalau tangguh-tangguh lagi, takut tak buat langsung pulak.

Program kali ni menggabungkan penyertaan daripada pelatih IKBN dan ILP Miri. Terima kasih pada En. Sobyan sebab sudi bawa pelatih ILP untuk datang ke IKBN. Walaupun ikut perjanjian asal, kita nak buat di ILP, namun kerana ada beberapa masalah yang tak dapat dielakkan kena buat di IKBN juga.

Untuk hari yang pertama ni, kami lenih tumpukan kepada bab bilal iaitu azan dan iqamat. Aku kena bentangkan Kuliah 1 dan lepas tu terus masuk bengkel yang dikelolakan oleh Mr. Rohaizam bin Ismail dan En. Ismail bin Man. 2 beranak, Azan kata….hahaha…

Mujur juga ada kawan-kawan yang sanggupkan luangkan sedikit masa lapang diaorang pada hujung minggu untuk tolong laksanakan program pada kali ini. Jazakumullahu khairan kathira wa khairal jaza’.

Petang ni nak off sekejap kot. Batuk dan pening.

ابو اجود
Abu Ajwad
IKBN Miri