Archive for Mac 2014

Muzik Menurut Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah

Muzik memainkan peranan penting secara semulajadi dalam kehidupan menusia seperti perkembangan tumbesaran dan kecerdasan kanak-kanak, bidang keagamaan dan kesenian. Ia berkembang dan mewujudkan satu lambang budaya bagi mewakili identiti sesuatu etnik atau tamadun. Dalam peperangan, muzik juga digunakan untuk menaikkan semangat para pahlawan untuk berjihad. Para pendakwah juga seringkali menggunakan muzik sebagai metode penyampaian mereka. Bahkan, dalam memperdengarkan bacaan al-Quran, pelbagai alunan variasi lagu tarannum yang sahih digunakan oleh qari dan qariah. Dalam bidang pendidikan pula, muzik memainkan peranan yang penting bagi menajamkan ingatan di mana para pelajar menggunakan kaedah muzik dalam menghafal pelajaran mereka. Artikel konseptual ini disediakan berdasarkan kajian kepustakaan. Perbincangan berkisar tentang perbandingan yang terdapat di antara muzik yang diharuskan dengan muzik yang tidak diharuskan menurut pandangan Islam melalui al-Quran dan as-Sunnah.

Kesenian Islam adalah kesinambungan daripada zaman silam yang telah berkembang dan dicorakkan oleh tauhid yang tinggi kepada Allah S.W.T. Kesenian Islam memiliki khazah sejarahnya yang tersendiri dan unik. Ianya telah berkembang sejak zaman Nabi Allah Daud ‘A.S. dan puteranya Sulaiman ‘A.S. telah dan terus berkembang pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. dan zaman selepas kewafatan Baginda S.A.W. sehingga kini. Kesenian Islam terus berkembang di dalam tamadun Islam mengikut kreativiti umat Islam di dalam bentuk dan falsafahnya yang masih berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan syara’.

Muzik Menurut Perspektif Islam

Persepsi mengenai muzik Islam di kalangan masyarakat lazimnya tidaklah begitu positif. Hal ini dapat dikaitkan dengan pandangan bahawa kreativiti dalam bidang muzik selalu menyalahi hukum Islam. Pandangan ini sebenarnya tidak tepat bahkan berdasarkan prasangka semata-mata tanpa mengetahui terlebih dahulu pengertian yang mendasari seni muzik itu sendiri. Muzik merupakan hasil cetusan fikiran dan minda manusia, sedangkan agama Islam adalah anugerah Allah S.W.T. Di sudut yang lain,muzik adalah sebahagian daripada kesenian, sedangkan kesenian adalah rangkuman daripada kebudayaan. Ini menunjukkan bahawa kebudayaan mempunyai kaitan dengan kesenian.

Dari segi sejarah, Nabi Muhammad S.A.W.dan para sahabat pernah berlagu dan berdendang ketika mendirikan masjid Nabawi di Madinah dan ketika menggali parit ketika perang Khandak (Sahih al-Bukhari). Justeru itu, al-Ghazali tidak teragak-agak mengemukakan pandangan ulama’ berhubung keharusan dan pengharaman mendengar nyanyian dan muzik (al-Ghazali). Begitu juga dengan penegasan Ibnu Taimiyyah bahawa nyanyian dan muzik harus berupaya memperbaiki hati dan menyucikan jiwa , bahkan mendengar ayat-ayat Allah dan lagu-lagu tasbih diberi ganjaran pahala yang besar.

Sesuatu yang indah itu pada dasarnya disukai oleh Allah S.W.T. kerana Dia Yang Maha Indah dan menyukai yang indah. Namun demikian, yang menetapkan sesuatu yang benar-benar indah ialah Allah sendiri, bukan manusia atau nafsunya. Dalam batas tertentu nilai estetika atau keindahan bersifat relatif, tetapi tidak pula dinafikan adanya kesamaan dan kesepakatan kumpulan manusia tertentu terhadap sesuatu yang indah. Justeru keindahan adalah satu fenomena tabi’i di mana tiap-tiap manusia dapat merasakannya.

Ulama’ Islam telah menetapkan hukum asal pada sesuatu perkara itu adalah harus berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah : (2:29) yang bermaksud :

“Dialah Allah yang menjadikan sesuatu yang ada di atas muka bumi untuk kamu”

Sehubungan dengan itu, tidak boleh memutuskan haramnya sesuatu itu melainkan mestilah berlandaskan kepada nas yang sahih daripada al-Quran, hadith atau ijma’ yang thabit dan meyakinkan.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda :

Apa saja yang dihalalkan oleh Allah S.W.T. di dalam kitabNya, adalah halal, apa saja yang diharamkan oleh Allah S.W.T. di dalam kitabNya, adalah haram dam apa saja yang didiamkan oleh Allah S.W.T. tentang kedudukannya, terimalah dari Allah kemaafanNya, kerana sesungguhnya Allah tidak akan melupakan sesuatu pun.

Imam al-Ghazali dalam karya beliau, Ihya’ ‘Ulum al-Din menjelaskan bahawa sebenarnya tidak ada keterangan yang jelas dari sunnah Nabi S.A.W. yang melarang penggunaan alat-alat muzik. Menurut Imam al-Ghazali sebahagian instrument muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang. Seni muzik yang dilarang kepada umat Islam ialah sekiranya berada di dalam keadaan yang bersekongkol dengan kumpulan peminum arak, perzinaan dan lain-lain perbuatan dosa.

Ulama’ bersepakat untuk mengharamkan segala bentuk muzik yang diiringi dengan nyanyian yang mengandungi perkataan yang kotor, fasiq atau mendorong seseorang untuk melakukan maksiat.

Bagaimanapun, para ulama’ juga berselisih tentang bentuk nyanyian, samada baik dengan muzik atau tidak, bahkan mereka menganggap itu mustahab. Terdapat daripada ulama’ yang menolak nyanyian apabila menggunakan muzik dan memperbolehkan apabila tidak diiringi dengan muzik. Sebahagian yang lain ada yang melarang secara mutlak, diiringi dengan muzik atau tidak, dan menganggap itu perbuatan haram, bahkan sampai ke peringkat dosa besar.

Di abad ini, Islam dicabar daripada berbagai-bagai sudut. Musuh menggunkan segala-galanya untuk menghancurkan Islam. Mereka mengetahui umat Islam mudah leka apabila diberikan kemewahan dan hiburan. Lantas mereka menggunakan tamadun dan kebendaan mereka dengan mengembangkan bidang seni bagi melalaikan umat dan terus menidurkan mereka. Natijahnya umat leka daripada sumber kekuatan mereka iaitu al-Quran. Umat Islam di masa kini lebih gemar dan khusyuk mendengar lagu-lagu dendangan manusia daripada alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quranul Karim.

Adapun masih banyak pendapat ulama’ kebenaran untuk bernyanyi, bermain alat muzik perlulah sentiasa berhati-hati, tidak melanggari batas pergaulan, tidak mendedahkan aurat dan sebagainya. Walau bagaimanapun lagu atau nyanyian masih boleh dilakukan sekiranya prinsip penyampaian mesej nyanyian tidak lari dari landasannya serta perlulah bercorak kebenaran serta mentauhidkan Allah S.W.T.

Khairil Ashram bin Che Derasid

Buletin ILIM * Mei-Ogos 2013