Archive for September 2014

Ingatan Untuk Diri yang Alpa…

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kali ni jom sama-sama kita baca suatu ‘karangan’ yang selalu kita dengar. Wajib dibacakan dan diperdengarkan dalam ‘function’ yang tertentu. So, enjoy…

__________

 بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله رب العالمين , والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Segala puji-pujian bagi Allah swt, Tuhan pentadbir sekalian alam, yang hidup kekal selama-lamanya. Selain dari-Nya, pasti menemui mati dan binasa. Selawat dan salam sejahtera ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, pesuruh Allah yang membawa wahyu untuk disampaikan kepada hamba-hamba-Nya dan Rasul-Nya. Seterusnya, selawat dan salam ke atas keluarga Rasulullah saw dan sahabat-sahabat baginda yang telah terkorban untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Selawat dan salam yang tidak terhingga setiap hari dan masa.

Maha Suci Tuhan Yang Maha Esa, Unggul pada Keagungan-Nya, Tunggal pada Zat-Nya dengan sifat Qudrat dan Baqa’. Maha Suci Tuhan yang berkuasa mematikan dan menghidupkan manusia, untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Sesungguhnya, setiap amalan akan diperlihatkan di hadapan semua manusia, sama ada amalan baik mahupun yang buruk, yang ternag atau yang tersembunyi dan yang diketahui atau yang tidak diketahui.

Wahai hamba Allah, ingatlah setiap amalan yang telah kamu lakukan di dunia ini, akan dibalas sama ada yang kecil ataupun yang besar, yang nyata maupun yang tersembunyi semuanya akan diperhitungkan dan kamu akan menerima balasannya di hari pengadilan nanti. Berbahagialah sesiapa yang dipisahkan dari neraka dan menjadi penghuni syurga. Ketahuilah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara dan kesenangan di dunia adalah hiasan semata-mata, tidak kekal dan tidak boleh dibawa ke mana-mana.

Wahai hamba Allah, ingatlah dari tanah kamu dijadikan, kepada tanah kamu dikembalikan dan daripadanya jua kamu dibangkitkan untuk menghadap Rabbul ‘Izzati, Tuhan pentadbir sekalian alam.

Dengan nama Allah, dengan Allah, daripada Allah, kepada Allah, di atas agama Allah yang dibawa oleh Rasulullah saw sebenarnya kamu dimatikan. Kematian inilah yang dijanjikan oleh Allah dan tepatlah janji yang telah disampaikan oleh utusan Allah. Hanya dengan sekali Israfil menempik, maka hancurlah yang ada, mati dan kemudian terhimpun kembali di sisi Allah Rabbul ‘Izzati.

Wahai (nama si mati dibin @ binti dgn nama ibu) semoga kamu dirahmati dan diampunkan dosa-dosa kamu. Mulai hari ini, berakhirlah sudah kehidupanmu di dunia, habislah sudah segala keseronokanmu, lenyaplah sudah perhiasan dan kesenanganmu yang Allah pinjamkan selama kamu hidup di dunia.

Sekarang dan mulai hari ini engkau akan berada di alam barzakh, iaitu alam lain dari apa yang engkau telah tempuhi sebelum ini. Janganlah engkau lupa terhadap perjanjian di masa perpisahanmu dari alam dunia menuju ke alam akhirat iaitu dua kalimah syahadah.

 لا إله الا الله محمد رسول الله

Ingatlah apabila datang kepadamu dua malaikat, Mungkar dan Nakir yang ditugaskan oleh Allah untuk menyoal kamu, maka janganlah engkau terkejut dan takut. Mereka sebenarnya adalah hamba Allah, sepertimana kamu juga. Mereka akan menyoal kamu dengan pertanyaan.

“Siapakah Tuhan kamu?”

“Siapakah Nabi kamu?’

“Apakah agama kamu?”

“Apakah kiblat kamu?”

“Siapakah nama saudara kamu?”

“Apakah pegangan i’tiqad kamu?”

“Apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama?”

Di masa itu hendaklah kamu menjawab dengan cermat dan terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar dan takut. Janganlah cuai dan tergopoh gapah, hendaklah kamu tenang dan berhati-hati.

Jawablah :

“Allah Taala Tuhanku”

“Muhammad saw Nabiku”

“Islam Agamaku”

“Kitab suci al-Quran menjadi ikutanku”

“Baitullah itu Kiblatku”

“Semua orang Islam dan orang beriman adalah saudaraku”

dan

“Kalimah Laa Ilaha Illallahu Muhammadur Rasulullah menjadi i’tiqad peganganku”

Ketahuilah wahai (nama si mati dibin @ binti dgn nama ibu) bahawa mati itu benar, masuk kubur itu benar, soalan Mungkar dan Nakir di dalam kubur itu benar, bangkit semula dari kubur itu benar, perkiraan amalan itu benar, titian sirat itu benar, neraka itu benar dan syurga itu benar dan tidak ragu-ragu lagi hari kiamat itu pasti datang. Di masa itu, Tuhan akan membangkitkan semula yang ada di dalam kubur.

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Penghibur bagi tiap-tiap kesunyian dan kesepian, Yang Sentiasa Ada dan tidak jauh dari makhluk-Nya, kami memohon daripada-Mu, hiburkanlah kesepian kami dan kesepian saudara kami ini, rahmatilah kami dan saudara kami ini ketika keseorangan di dalam kubur. Lancarkanlah lidah kami dan saudara kami ketika menjawab soalan-soalan para malaikat, tetapkanlah iman kami dan iman saudara kami dengan rahmat-Mu Yang Maha Luas.

ربنا آتنا فى الدنيا حسنة و فى الآجرة حسنة وقنا عذاب النار

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم والحمدلله رب العالمين

Advertisements